Ujian Penggunaan B10 FGV-MPOB Berjaya

FGV Holdings Berhad (FGV) dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah berjaya mencatatkan keputusan yang memberangsangkan dalam ujian penggunaan biodiesel dengan campuran ester metil sawit (PME) sebanyak 10% (B10) dalam operasi logistik, kilang dan ladangnya.

Matlamat ujian penggunaan B10 ini adalah tanda sokongan kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan mandat penggunaan biodiesel B7 ketika ini kepada B10 dan membuktikan secara saintifik bahawa peningkatan sebanyak 3% tidak memberikan sebarang kesan negatif kepada prestasi dan keselamatan jentera pengangkutan dan industri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Zakaria Arshad berkata, FGV dan MPOB telah menjalankan ujian penggunaan B10 secara komprehensif sejak Ogos 2017 menerusi bahagian logistik sebelum dikembangkan ke sektor ladang dan kilang terpilih bermula Mei 2018.

“Setakat hujung Ogos 2018, bahagian logistik FGV telah menggunakan 91,536 liter B10 dengan jarak perjalanan sejauh 172,932 km, manakala dalam operasi ladang dan kilang masing-masing menggunakan 26,347 liter dan 59,077 liter.ie

“Sepanjang tempoh berkenaan tiada sebarang isu teknikal dilaporkan dan kajian saintifik menerusi MPOB juga menunjukkan hasil yang positif. Kami akan meneruskan ujian ini sehingga Oktober bagi memastikan data yang diperolehi konsisten dan menyeluruh,” katanya.

FGV dan MPOB bersetuju bahawa sekarang adalah waktu terbaik untuk kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk melaksanakan mandat B10 berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah dan dijangka berterusan sehingga hujung tahun serta kenaikan harga minyak mentah dunia sejak awal tahun ini.

Penganalisa pasaran juga menjangkakan stok MSM Malaysia dan Indonesia dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini disebabkan pengeluaran tinggi dan ini dilihat bakal menambahkan lagi tekanan kepada harga pasaran MSM dunia.

Tamat