TEMU DUGA PROGRAM USAHAWAN MUDA FGV PADA 18 APRIL

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) akan mengadakan sesi temu duga terbuka bagi Program Usahawan Muda yang bermatlamat untuk melahirkan usahawan muda yang bakal berkecimpung dalam industri perladangan sawit serta menjadi vendor kepada FGV pada masa hadapan.

Program temu duga terbuka akan dijalankan pada 18 April 2018, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang secara serentak di pejabat ladang FGV di 18 lokasi terpilih seluruh negara seperti berikut: Kelantan – Aring 6, Terengganu – Chador, Pahang – Lepar Hilir 8, Lepar Utara 8, Bukit Sagu 8 dan Kechau 6, Negeri Sembilan – Palong 18 dan Tembangau 3, Johor – Tenggaroh Timur 2, Selendang 4, Selancar 9 dan Moakil 7, Perak/Selangor – Besout 7 dan Lawin Tengah, Kedah/Perlis – Laka Selatan dan Sabah – Sahabat 55, 56 dan Umas 5.

Permohonan terbuka kepada warganegara Malaysia yang terdiri daripada warga FELDA, anak-anak petugas FGV dan FELDA yang menetap di rancangan FELDA. Kriteria pemilihan peserta adalah Lelaki, berumur 18 hingga 30 tahun, memiliki sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya, mempunyai tahap literasi yang baik (membaca, menulis, mengira, celik IT) dan sihat tubuh badan. Para pemohon diminta membawa sijil yang berkaitan semasa sesi temu duga, kad pengenalan dan berpakaian kemas.

Peserta yang terpilih akan mengikuti latihan selama enam bulan dan segala kos pembelajaran, peralatan dan elaun ditanggung sepenuhnya oleh FGV.

Latihan meliputi pengenalan asas perniagaan dan pengurusan kewangan syarikat, latihan lapangan di ladang – ladang FGV dan latihan dalam kerja serta penilaian oleh Mentor yang merupakan pengurus berpengalaman di FGV.

Program ini akan dilaksanakan secara berterusan dengan matlamat utama untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing dan mampu menyokong perkembangan industri perladangan sawit negara dan selari dengan matlamat tanggungjawab sosial FGV yang mengambil berat terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan sosial masyarakat setempat.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman sesawang feldaglobal.com atau laman Facebook rasmi FGV – @feldaglobalofficial.

  • TAMAT –