Siaran Akhbar: FGV Salur Zakat Berjumlah RM462,000

KUALA LUMPUR: Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) telah memperuntukkan sejumlah RM462,000.00 untuk disalurkan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Bantuan kewangan ini akan dibahagikan kepada beberapa zon iaitu Ibu Pejabat, Kuala Lumpur, Pasir Gudang, Johor, Kuantan, Pahang, Prai, Pulau Pinang dan Sahabat & Kalabakan, Sabah.

Program sumbangan ini dimulakan di Ibu Pejabat FGV pada hari ini dengan peruntukan sebanyak RM 242,000 telah diagihkan kepada 400 penerima daripada pelbagai kategori asnaf.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Zakaria Arshad berkata, Kumpulan telah mengumumkan jumlah zakat yang ditunaikan pada tahun ini iaitu sebanyak RM14.8 juta dan jumlah berkenaan tidak termasuk zakat yang akan dikeluarkan oleh anak syarikat iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM).

“Walaupun FGV ketika ini berdepan dengan persekitaran pasaran komoditi yang tidak menentu, namun tanggungjawab sosial terhadap masyarakat sekitar sentiasa diberikan keutamaan.

“Ini merupakan rahmat kepada semua yang kita kongsikan melalui zakat. Hasil kejayaan FGV dapat dinikmati oleh semua lapisan daripada kakitangannya hinggalah kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.