Siaran Akhbar: FGV Bantu Proses Pelepasan Beruang Matahari Ke Habitat Asal

Sun Bear Pic

KUALA LUMPUR : Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) bersama Jabatan Perlindungan Haiwan Liar & Taman Negara (PERHILITAN) dengan bantuan pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melepaskan beruang matahari di Hulu Terengganu. Acara tersebut turut disertai oleh ahli-ahli pertubuhan Sahabat Beruang Madu Wilayah Terengganu di bawah kelolaan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Melalui program-program ini, FGV dapat menzahirkan komitmen syarikat dalam memastikan kemampanan biodiversiti di samping menangani isu-isu yang dikaitkan dengan industri sawit seperti pemusnahan habitat asal hidupan liar akibat penerokaan hutan bagi tujuan perladangan.

FGV bergiat aktif dalam pemuliharaan beruang matahari sejak tahun lalu dengan memperuntukkan dana sebanyak RM460,000 setahun untuk tempoh 5 tahun bagi membolehkan pihak PERHILITAN, UKM dan MNS merangka pelbagai program yang berkaitan dengan kempen selamatkan beruang matahari.

Dalam tempoh setahun kerjasama di antara FGV dan PERHILITAN, 12 ekor beruang matahari berjaya diselamatkan dan dipulihkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 6 ekor beruang telah dilepaskan ke habitat asal iaitu di kawasan-kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun hanya 3 ekor beruang telah dilepaskan secara saintifik iaitu dengan penggunaan kolar pengesan dan peralatan telemetri (pemancar radio dan antenna) untuk pemantauan selama 2 tahun.

Selain itu, sebuah pertubuhan iaitu Sahabat Beruang Madu Wilayah Terengganu yang disertai oleh pekerja-pekerja syarikat perladangan milik FGV dan masyarakat setempat telah ditubuhkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai konflik antara manusia dengan hidupan liar lebih-lebih lagi apabila terdapat penemuan beruang spesis tersebut di ladang-ladang milik syarikat. Buat masa ini, terdapat dua kumpulan pertubuhan tersebut yang berpusat di Kuala Lipis dan Kuala Terengganu telah bergiat aktif.

Selari dengan matlamat syarikat untuk mengutamakan kemampanan alam sekitar dalam opersasi seharian, FGV akan terus meningkatkan usaha dan menganjurkan lebih banyak program berobjektifkan pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi.