FGV LANCAR PROGRAM USAHAWAN MUDA

Lahirkan Lebih Ramai Usahawan di Kalangan Generasi Muda FELDA

FGV Holdings Berhad (FGV) merancang melahirkan lebih ramai usahawan muda yang akan berkecimpung dalam industri perladangan sawit menerusi Program Usahawan Muda, khususnya kepada individu yang tidak berpeluang menyambung pelajaran.

Pengerusi FGV Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, setiap tahun Kumpulan telah mengeluarkan pelbagai kontrak bernilai jutaan ringgit kepada vendor-vendor dan telah ramai di antara mereka berjaya menjadi syarikat yang kukuh.

Namun jumlah generasi muda khususnya anak-anak peneroka yang menerima manfaat daripada kontrak-kontrak ini amat sedikit dan kebanyakan mereka lebih terdedah untuk berhijrah ke luar untuk bekerja.

Saya melihat, generasi muda sekarang semakin menjauhi industri perladangan sawit dengan beranggapan bahawa peluang pekerjaan dalam industri ini tidak memberikan masa depan yang cerah.

“Saya melihat, generasi muda sekarang semakin menjauhi industri perladangan sawit dengan beranggapan bahawa peluang pekerjaan dalam industri ini tidak memberikan masa depan yang cerah.

“Oleh itu, FGV wujudkan Program Usahawan Muda bagi memberi peluang kepada generasi baharu FELDA untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka sekali gus menghakis persepsi negatif terhadap kerjaya dalam industri ini,” katanya.

Program ini terbuka kepada semua warganegara berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun dan keutamaan diberikan kepada generasi baharu peneroka, anak-anak kakitangan FGV dan FELDA yang tinggal di kawasan FELDA.

FGV akan memilih 40 orang peserta untuk kumpulan pertama program ini dan segala kos pembelajaran serta peralatan akan ditanggung sepenuhnya oleh FGV.

Menerusi Program Usahawan Muda ini peserta akan dilatih bermula daripada asas pengurusan perniagaan sehinggalah latihan lapangan di ladang-ladang FGV mengikut prinsip-prinsip kelestarian bagi memastikan setiap peserta mampu menguruskan syarikat sendiri.

Peserta yang berjaya dalam Program Usahawan Muda ini kelak, akan dilantik menjadi vendor FGV dan dalam masa yang sama juga mereka boleh mengembangkan lagi perniagaan dengan memperoleh kontrak daripada pihak lain.

Azhar berkata, program ini akan dilaksanakan secara berterusan dengan matlamat utama untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing dan mampu menyokong perkembangan industri perladangan sawit negara.

Saya juga lihat dengan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mahir ini, industri perladangan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang dianggarkan kira-kira seramai 30,000 orang dan ini juga membantu membentuk ekosistem industri yang mampan dalam jangka masa panjang

“Saya juga lihat dengan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mahir ini, industri perladangan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang dianggarkan kira-kira seramai 30,000 orang dan ini juga membantu membentuk ekosistem industri yang mampan dalam jangka masa panjang.

“Program Usahawan Muda ini selari dengan matlamat tanggungjawab sosial FGV yang mengambil berat terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan sosial masyarakat setempat,” jelas beliau.