Perolehan FGV naik 34.3% kepada RM4.32 bilion suku ketiga

  • Keuntungan operasi naik 98.3%, keuntungan sebelum cukai naik 10%. 
  • Keuntungan kasar FGV naik 14.3% berbanding 9.3% pada 2013. 

Kuala Lumpur, 27 November – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia, berjaya merekodkan peningkatan perolehan sebanyak RM4.32 bilion untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2014, naik 34.3 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Peningkatan tersebut disokong oleh pergabungan Felda Holdings Berhad (FHB) dan Pontian United Plantations Berhad (PUP) di bawah FGV.

“Kemasukan FHB dan PUP ke dalam FGV bukan sahaja memberi impak peningkatan perolehan yang positif malah membantu Kumpulan untuk memperolehi kawalan ke atas keseluruhan rantaian perladangan dan meningkatkan keberkesanan operasi serta sinergi,” kata Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mohd Emir Mavani Abdullah.

Keuntungan kasar pada suku ketiga tahun ini meningkat lebih sekali ganda kepada RM501.33 juta, manakala keuntungan operasi turut meningkat 98.3 peratus dan keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 10 peratus.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Kumpulan merekodkan pertumbuhan perolehan sebanyak 36.4 peratus kepada RM12.13 bilion, manakala keuntungan operasi naik 74 peratus kepada RM1.02 bilion, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan kasar FGV naik 14.3 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding hanya 9.3 peratus untuk suku sama tahun lalu.

Dato’ Mohd Emir menjelaskan, operasi FGV ketika ini berdepan dengan persekitaran perniagaan antarabangsa yang cukup mencabar dengan harga MSM yang jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima tahun semasa suku ketiga tahun ini. Selain itu pengeluaran tinggi soya di Amerika Syarikat dan jurang harga yang semakin kecil antara minyak soya dan MSM juga telah menjadikan persekitaran pasaran lebih kompetitif kepada FGV.

FGV juga mencatatkan caj nilai saksama sebanyak RM98.9 juta bagi Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) pada suku kali ini, naik 140.9 peratus berbanding suku sama tahun lalu dan merekodkan kerugian komoditi nyata dan tidak nyata sebanyak RM105.54 juta kesan daripada kontrak hadapan dalam operasi bahagian hiliran.

Faktor ini telah menyumbang kepada penyusutan keuntungan bersih FGV sebanyak 61.2 peratus bersamaan RM22.99 juta bagi suku ketiga tahun ini berbanding suku sama tahun lalu.

Dato’ Mohd Emir berkata: “Walaupun FGV bakal terus berdepan dengan persekitaran perniagaan yang mencabar untuk suku terakhir tahun ini, aktiviti perniagaan teras kami terus kukuh dan kami mengambil langkah berhemah untuk memastikan pertumbuhan keuntungan berterusan.”

FGV menjangkakan harga pasaran antarabangsa MSM akan pulih untuk suku akan datang dan ini akan memberi kesan positif kepada jangkaan perolehaan masa depan. Jangkaan pertumbuhan positif juga disokong oleh insentif cukai eksport hingga akhir tahun 2014 serta dasar kerajaan memperkenalkan penggunaan biodiesel, B7.

“Perolehan dijangka meningkat seiring dengan jangkaan peningkatan harga MSM pada suku pertama tahun depan. Selain itu, langkah berterusan pengambilalihan ladang sawit matang dan program penanaman semula melibatkan kawasan ladang seluas 15,000 hektar setahun dijangka membantu memastikan hasil sektor perladangan FGV terus kukuh pada masa depan,” kata Dato’ Mohd Emir.

“Memandang ke hadapan, program transformasi menyeluruh dan menambahbaik operasi akan terus menjadi perkara penting kepada FGV. Kami akan terus komited untuk menambahbaik setiap aspek operasi dan meletakkan asas operasi di landasan betul untuk memenuhi permintaan minyak sawit antarabangsa dan terus mencatatkan keuntungan pada masa depan.

*** tamat ***