Pengecualian Cukai Eksport akan Meningkatkan Eksport FGV

Tindakan kerajaan untuk mengecualikan cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) untuk tempoh tiga bulan dijangka memberi faedah kepada syarikat perladangan yang mempunyai operasi besar dalam sektor huluan dan mengukuhkan harga komoditi berkenaan pada suku pertama tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Zakaria Arshad berkata, para pemain industri berhadapan dengan isu stok MSM yang tinggi dan pengukuhan Ringgit yang menekan harga MSM kepada sekitar RM2,500 per MT.

“Tindakan kerajaan untuk melaksanakan pengecualian cukai eksport adalah tepat pada masanya dan merupakan cara yang berkesan untuk mengurangkan stok MSM berikutan permintaan tinggi dari China sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang

Tindakan kerajaan untuk melaksanakan pengecualian cukai eksport adalah tepat pada masanya dan merupakan cara yang berkesan untuk mengurangkan stok MSM berikutan permintaan tinggi dari China sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang

“Dengan perkembangan ini, kami menjangkakan peningkatan permintaan kira-kira 30-50 peratus dalam jumlah eksport daripada negara pengimport utama seperti India, Pakistan, China dan Eropah.  Ini juga membolehkan kami meningkatkan bekalan ke kilang penapisan usaha sama kami di Pakistan pada harga yang lebih kompetitif” ujar beliau.

Dato’ Zakaria berkata, berdasarkan keadaan ini, FGV menjangkakan purata harga MSM bagi suku pertama 2018 akan meningkat sedikit dan didagangkan pada sekitar RM2,650 per MT hingga RM2,750 per MT.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi keseluruhan tahun 2017, Dato’ Zakaria berkata, operasi perniagaan teras FGV telah mencatatkan prestasi yang baik dengan pertumbuhan positif pengeluaran buah tandan segar (BTS) berbanding tahun 2016.

“Untuk tahun 2018, kami tetap komited dalam melaksanakan Pelan Strategik 2020 (SP20) dengan prestasi perniagaan teras yang lebih baik, memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan tadbir urus dalam semua sektor dan budaya prestasi tinggi yang akan memberikan nilai berterusan kepada para pemegang saham,” jelasnya.

Tamat