PBZT FGV Melonjak kepada RM170 Juta pada 9M 2017

interim dividen sebanyak 5 sen dan akan dibayar pada 28 Disember

FGV mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM170 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017 (9M 2017) berbanding RM44 juta pada tempoh sama tahun lalu, disumbangkan oleh prestasi kukuh Sektor Perladangan dan Logistik & Lain-lain (LO).

Perolehan FGV meningkat 5 peratus kepada RM12.70 bilion berbanding RM12.09 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Zakaria Arshad berkata, untuk tempoh 9M 2017, Sektor Perladangan mencatatkan prestasi positif dengan keuntungan sebanyak RM225 juta berbanding rugi RM30 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Prestasi kukuh berkenaan disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi sebanyak 10 peratus disokong oleh peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 3 peratus kepada 3.07 juta MT, selain turut disumbangkan oleh harga MSM yang tinggi, untung daripada syarikat kerjasama dan margin tinggi daripada perniagaan baja. Selain itu, Sektor LO mencatatkan peningkatan keuntungan berikutan peningkatan jumlah tan dalam operasi pengangkutan selari dengan kenaikan jumlah pengeluaran MSM.

Sementara itu, untuk suku ketiga 2017, FGV merekodkan peningkatan PBZT sebanyak 31 peratus kepada RM114 juta berbanding suku sebelumnya disokong oleh pengukuhan Sektor Gula dan LO. Sektor Perladangan mencatatkan keuntungan RM107 juta pada suku ketiga disokong oleh peningkatan sebanyak 18 peratus pengeluaran BTS; bagaimanapun prestasi positif berkenaan telah terkesan dengan peningkatan caj LLA, manakala perniagaan gula kembali untung berbanding rugi pada suku sebelumnya disokong oleh penurunan harga gula mentah,” tambah beliau.

“Untuk meneruskan komitmen untuk meningkatkan hasil, kami telah mengukuhkan operasi ladang dengan mengoptimumkan pekerja ladang dalam aktiviti penuaian, penawaran kerja lebih masa dan meningkatkan rekrut pekerja asing secara agresif. Jangkaan positif juga disokong oleh proses transisi pokok muda kepada fasa pokok yang produktif.

“Prestasi kami telah menunjukkan trend positif sejak suku pertama hingga suku ketiga. Berdasarkan peningkatan ketara dalam pengeluaran BTS pada Oktober lalu, kami jangka prestasi keseluruhan FGV akan lebih baik berbanding 2016,” katanya.

“Bagi menambahbaik perniagaan teras, kami telah melantik individu profesional yang pakar dalam bidang tertentu dalam Lembaga Pengarah FGV dan pengurusan kanan. Individu berkenaan mempunyai pengalaman dan kemahiran tinggi dalam membantu pertumbuhan FGV dan menjana pulangan yang mampan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan.

Lembaga Pengarah FGV telah mengumumkan dividen interim sebanyak 5.0 sen sesaham kepada 3,648,151,500 saham biasa di bawah sistem tahap tunggal untuk suku tahun berakhir 30 September 2017 berjumlah RM182.41 juta. Dividen dijangka dibayar pada 28 Disember 2017.

-Tamat –