Majlis Korban FGV Dan FELDA Bersama Komuniti Felda Chini

PEKAN, 3 SEPTEMBER 2017 – Sambutan Hari Raya Aidiladha komuniti Felda Chini tahun ini lebih bermakna kerana majlis korbannya dianjurkan oleh Felda Global Ventures Holdings Berhad  (FGV) bersama-sama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

FGV menyumbangkan lima ekor lembu, yang disembelih di atas nama fakir miskin di Gugusan Chini, sebagai tanda tanggungjawab korporat Kumpulan. Sejumlah 10 ekor lembu ditumbangkan termasuk korban individu dengan melibatkan kakitangan FGV dan FELDA yang berganding bahu menjayakan majlis berkenaan.

Pegawai Bertanggungjawab FGV, Dato’ Khairil Anuar Aziz berkata, FGV berbesar hati dapat meraikan Hari Raya Aidiladha bersama warga Kumpulan Felda bersama-sama masyarakat peneroka.

Setiap tahun, majlis korban ini merupakan salah satu platform untuk kami mendekati dan mendengar suara peneroka demi memperkukuhkan hubungan erat antara kedua-dua pihak

“Setiap tahun, majlis korban ini merupakan salah satu platform untuk kami mendekati dan mendengar suara peneroka demi memperkukuhkan hubungan erat antara kedua-dua pihak. InsyaAllah kami akan meneruskan usaha ini di masa hadapan,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pemangku Pengarah Besar FELDA, Tuan Haji Ab. Ghani Mohd Ali dan EXCO Kerajaan Negeri Pahang dan ADUN Chini merangkap Ahli Lembaga Pengarah FELDA dan FGV, YB. Dato’ Abu Bakar Harun, Pengurus Rancangan Felda Chini 03, Misbari Nazir dan barisan pengurusan kanan FELDA dan FGV.

Dalam majlis yang sama, FGV turut memberi sumbangan sebanyak RM10, 000 kepada Masjid Al-Makmuriah Felda Chini 03.

“Sejak zaman para anbia, masjid berperanan sebagai pusat aktiviti penduduk. Semoga dengan sumbangan kecil FGV ini dapat memberi manfaat besar kepada penduduk Felda Chini 3 dalam merancang aktiviti komuniti,” ujar Dato’ Khairil.

FGV turut menyumbangkan keseluruhan 25 ekor lembu untuk majlis korban Aidiladha di beberapa lokasi lain iaitu di Kota Tinggi, Sekijang, Muar di Johor dan  Tanjung Malim (Perak).

-Tamat –