Kenyataan Terhadap Laporan Menuduh Lembaga Pengarah FGV Terlibat dalam Konspirasi di FGV

 

Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) ingin menegaskan setakat ini keputusan yang telah diambil adalah mengarahkan Dato’ Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Eksekutif dan tiga lagi kakitangan pengurusan kanan untuk bercuti dengan bergaji penuh dan menerima semua kemudahan.
Sebagai sebuah syarikat senaraian awam dan juga syarikat berkaitan kerajaan yang termaktub dengan undang-undang yang berkaitan oleh badan kawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia, FGV sama sekali tidak terlibat dengan mana-mana konspirasi atau agenda peribadi dalam menjalankan proses siasatan dalaman tersebut.
Siasatan dalaman ini dianggap tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah dalam menjalankan tanggungjawab prihatin dalam pengurusan sebuah syarikat penyenaraian awam dan juga kepentingan pemegang saham.
Selaras dengan amalan tadbir urus korporat yang baik, FGV akan memastikan siasatan dalaman ini dijalankan secara adil dan saksama. Seterusnya, FGV akan mengukuhkan prestasi perniagaannya untuk memajukan kepentingan pemegang saham syarikat.
Siasatan dalaman hanya fokus kepada isu hutang Safitex seperti yang dilaporkan sebelum ini. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 19hb Jun 2017, terdapat beberapa bukti asas yang membolehkan Lembaga FGV mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan dua lagi pegawai kanan yang berkaitan dengan pelanggaran prosedur dalaman.

Tuduhan menyatakan bahawa Lembaga Pengarah mempunyai agenda peribadi untuk menjatuhkan pengurusan kanan adalah tidak wajar.
Jika tuduhan-tuduhan ini berterusan, ia dikhuatiri boleh menyebabkan focus FGV tergendala dari usahanya menambahbaikan operasi teras (core business), menjana nilai tambah dan melaksanakan tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah kepada pemegang saham.

Terima kasih