‘Gempak Keluarga Felda’ bakal mengegarkan sepuluh lokasi Felda Wilayah

Karnival berkonsepkan ‘Santai Rohani’ menanti komuniti tempatan

Kuala Lumpur

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan Yayasan Felda mengumumkan koloborasi bersama Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) bagi mengadakan program jelajah; “Gempak Keluarga FELDA” di sepuluh lokasi utama rancangan Felda.

Ini adalah julung-julung kalinya Astro bekerjasama dengan Kumpulan FELDA dan beberapa entiti dibawahnya untuk menjayakan program jelajah berbentuk karnival seterusnya menjadikan program ini sebagai salah satu inisiatif tahunan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Program jelajah Gempak Keluarga FELDA ini mensasarkan kumpulan pelanggan yang terdiri dari komuniti Felda Wilayah dan daerah di sekitarnya. Gempak Keluarga Felda akan membuka tirainya di Stadium Mini Pendang, Kedah pada 1 Ogos 2015 ini.

Program Gempak Keluarga Felda ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Razali Ibrahim dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Pegarah Besar FELDA, Dato’ Hanapi Suhada, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Mohd Emir Mavani Abdullah, Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro, Datuk David Michael Yap, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Dato’ Sri Dr. Emel Faizal Mohd Mokhtar dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

“Kami begitu teruja dengan kolaborasi yang dimeterai bersama FELDA, FGV dan Yayasan Felda ini. Di pihak Astro, kami telah mengatur pelbagai aktiviti menarik untuk diisi sepanjang berlangsungnya program ini. Berkonsepkan Salam Muslim (Santai Rohani), Gempak Keluarga FELDA menampilkan sedikit kelainan apabila menjadikan program-program berbentuk islamiah dan kerohanian sebagai asas utama program jelajah ini”, jelas Khairul Anwar.

“Pelbagai aktiviti berkonsepkan kekeluargaan akan disajikan kepada para pengunjung yang hadir ke Gempak Keluarga FELDA ini. Kami akan mewujudkan zon-zon yang berlainan untuk menampilkan kepelbagaian dan variasi serta sesuai bagi setiap peringkat umur dari kanak-kanak ke golongan dewasa. Para pengunjung berpeluang untuk menyuarakan sebarang soalan kepada peserta program Pencetus Ummah atau Imam Muda di slot ’Anda Tanya PU / Imam Muda Jawab’, belajar dengan lebih lanjut mengenai ’Seni Khat’ dan teka & jawab di slot ’Kuiz Agama’ di Zon Islamik @ Salam Muslim. Pengunjung juga boleh bertemu dengan pelawak-pelawak popular tanah air seperi Bocey di Zon Lawak dan barisan artis-artis terkemuka sepertiMawi, Haleeda (Gegar Vaganza), Idris (Kilauan Emas), Ewal (Akademi Fantasia), Erry Putra dan ramai lagi di Zon Hiburan dan Zon Drama”, tambahnya.

Menurut beliau, ”Warga FELDA juga dialu-alukan untuk terlibat secara langsung di Zon Lifestyle yang mana menampilkan pertandingan-pertandingan berbentuk interaktif seperti Pertandingan Menghias Kek, Pertandingan Mencipta Resipi Bonda (Master Chef), Limbo Rock dan banyak lagi. Setiap pertandingan ini bakal diberikan suntikan tempatan apabila turut melibatkan wakil-wakil dari komuniti FELDA untuk tampil menjadi pengadil. Lebih menarik lagi, program ’Bintang FELDA Akhir’ yang dijangka akan diadakan di slot petang bakal menyaksikan juara yang dinobatkan membawa pulang hadiah menarik sumbangan pihak penaja”.

Sementara itu, Hanapi berkata, ”Program ini dapat mengetengahkan para usahawan generasi FELDA serta mempekenalkan produk – produk mereka ke khalayak ramai dengan lokasi berdekatan bandar-bandar utama” katanya.

Beliau juga menyatakan sehingga kini, terdapat lebih 30,000 usahawan generasi FELDA yang terlibat dalam Perusahaan, Perniagaan, perdagangan, Tanaman, Akuakultur, Kraf, Ternakan.

Mohd Emir berkata, program jelajah ini akan membantu FGV dan Kumpulan Felda untuk mendekati serta beramah mesra dengan orang ramai khususnya golongan peneroka.

“Kerjasama dengan Astro ini dilihat mampu memberi impak kepada ekonomi di 10 lokasi Felda yang akan dijelajahi dengan menawarkan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan selain menarik pelancong luar sepanjang program,” katanya.

Sepanjang program jelajah ini, FGV akan turut mengetengahkan programprogram tanggungjawab sosial (CSR) Kumpulan antaranya adalah program pemuliharaan Beruang Matahari dan bunga Rafflesia melalui kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan.

Gempak Keluarga FELDA akan turut memeriahkan sambutan Hari Peneroka peringkat kebangsaan yang dijangkakan akan diadakan di Terengganu pada Ogos nanti.

Jangan lepaskan peluang untuk hadir ke Stadium Mini Pendang, Kedah pada 1 Ogos 2015 ini, 10.00 pagi – 10.00 malam untuk sesi Gempak Keluarga FELDA yang pertama. Lokasi seterusnya dijangka diadakan di Felda Wilayah Terengganu pada 8 Ogos 2015 bersempena dengan Hari Peneroka Kebangsaan. Lokasi-lokasi lain termasuklah di Felda Wilayah Trolak @ Perak, Felda Wilayah Raja Alias @ Negeri Sembilan, Felda Wilayah Segamat @ Johor, Felda Wilayah Kuantan @ Pahang dan banyak lagi. Nantikan pengumuman kami dari masa ke semasa mengenai tarikh-tarikh yang akan ditetapkan di setiap lokasi. Jumpa anda 1 Ogos 2015 ini!