FGV Tandatangani Ikrar Bebas Rasuah SPRM

Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) FGV sebagai langkah pro-aktif di dalam komitmen Kumpulan terhadap tadbir urus korporat yang baik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Dato’ Zakaria Arshad menandatangani ikrar tersebut, disaksikan oleh Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Mohd Yusof bin Mohd Zain dan Pengerusi Kumpulan FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.

Dato’ Zakaria turut mengetuai lafaz Ikrar Bebas Rasuah FGV bersama lebih 800 pengurusan kanan dan kakitangan Kumpulan FGV di majlis bersempena Forum Kepimpinan Berintegriti yang dianjurkan oleh Bahagian Tadbir Urus Kumpulan (GGD).

Forum Kepimpinan Berintegriti tersebut menampilkan penceramah terkemuka, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Seri Zakaria Jaffar dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dato’ Akhbar Satar.

Dato’ Zakaria Arshad signed the pledge. arshad

Menurut Dato’ Zakaria, FGV sentiasa menekankan integriti dan tadbir urus korporat terbaik lebih-lebih lagi sejak penyenaraiannya pada 2012. Antara usaha yang dijalankan adalah dengan mewujudkan satu bahagian khusus yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan dan pemantauannya yang diketuai oleh pegawai yang dipinjamkan oleh SPRM iaitu Dato’ Abdul Wahab Abdul Aziz.

“Ketika ini SPRM sedang merangka garis panduan penubuhan unit serupa yang boleh dicontohi oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain,” katanya.

FGV turut melantik seramai 39 orang kakitangannya sebagai Governance  & Integrity Champion untuk mengetengahkan isu-isu tadbir urus dan integriti di dalam Kumpulan FGV.

Dalam majlis yang sama, FGV turut melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH), iaitu kempen SPRM untuk menjadikan rasuah sebagai musuh utama rakyat Malaysia. GERAH di FGV akan menekankan mesej 3J iaitu; JANGAN HULUR, JANGAN KAWTIM, JANGAN SETTLE.

– TAMAT –