FGV Serah Van Komuniti Kepada Lima Buah Rancangan Felda

FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini telah menyerahkan lima buah van komuniti bernilai hampir RM800,000 kepada lima buah rancangan Felda bagi memudahkan pergerakan dan aktiviti kemasyarakatan penduduk setempat.

Rancangan Felda yang terlibat adalah Chemomoi, wilayah Mempaga (Pahang), Padang Piol, wilayah Jengka, (Pahang), Chini 5, wilayah Kuantan (Pahang), Lawin Selatan, wilayah Trolak (Perak) dan Kahang Timur, wilayah Segamat (Johor).

Van komuniti tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Adnan Yaakob dan disaksikan oleh Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Dato’ Zakaria Arshad, Pengarah Besar FELDA, Dato’ Ab Ghani Mohd Ali dan Ahli Lembaga Pengarah FGV, Dato’ Abu Bakar Harun.

Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, kami sedar bahawa pengangkutan merupakan antara keperluan penting kepada masyarakat Felda ketika ini bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti dengan lebih lancar.

“Penduduk Felda amat aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan ada kalanya mereka perlu pergi ke rancangan Felda tertentu yang jaraknya agak jauh dan saya yakin van komuniti ini boleh memberi manfaat kepada mereka.

“Tahun ini FGV merancang menyerahkan lapan buah van kepada masyarakat setempat dan lima daripadanya telah diserahkan pada hari ini. Tiga buah van lagi melibatkan dua buah van jenazah dan sebuah van ambulans akan diserahkan kepada Felda Sahabat (Sabah), Sembrong (Johor) dan Kolej Universiti Islam Perlis,” katanya.

Program sumbangan van ini merupakan antara salah satu program tanggungjawab sosial FGV menerusi dana zakat perniagaan yang dikeluarkan setiap tahun. Pada tahun 2017, FGV mengeluarkan zakat perniagaan keseluruhan berjumlah RM5 juta.

Tamat