FGV Optimis Atasi Kekurangan Pekerja Ladang dengan Segera

KUALA LUMPUR, 3 OGOS 2017 – Program pengambilan tenaga kerja untuk sektor perladangan secara intensif yang dilaksanakan oleh Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) ketika ini telah mula membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Pegawai Bertanggungjawab FGV, Dato’ Khairil Anuar Aziz berkata, program berkenaan ketika ini berjalan lancar dan proses kemasukan tenaga kerja dari Bangladesh dan Indonesia telah mula direkodkan secara berperingkat pada bulan ini bagi menampung kekurangan kira-kira 8,000 orang tenaga kerja ketika ini.
“Setakat ini, hampir 600 tenaga kerja asing baru telah diambil masuk. Insya-Allah, masalah kekurangan pekerja ini sedang diatasi dengan segera dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Ini merupakan keutamaan bagi FGV bagi memastikan pengeluaran yang optimum dari ladang-ladang kami,” kata Dato’ Khairil.
Ujarnya, FGV amat menghargai komitmen dan sokongan yang telah diberikan oleh pihak Kerajaan dan semua warga kerja Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi.

 

“Penghargaan juga kepada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Kedutaan Indonesia,  Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh dan Kedutaan Malaysia di Indonesia yang memberikan komitment tinggi terhadap usaha ini.

 

“FGV akan sentiasa memastikan setiap proses kemasukan tenaga kerja asing adalah mematuhi perundangan dan polisi yang ditetapkan di kedua-dua negara. Sebagai sebuah syarikat bertanggungjawab, kami komited terhadap standard yang ditetapkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dalam proses penggajian pekerja asing,” ujar Dato’ Khairil.

 

FGV mengusahakan ladang seluas lebih 450,000 hektar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Sektor perladangan merupakan sumber utama pendapatan FGV iaitu sebanyak 70% yang meletakkannya sebagai antara pengeluar utama minyak sawit mentah dunia.

 

Hasil usaha menambah tenaga kerja di ladang-ladang ini secara langsung akan membawa impak positif kepada syarikat dan pulangan yang akan diberikan kepada para pemegang saham termasuklah para peneroka.
Tambah Dato’ Khairil, FGV giat menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk sektor perladangan terutamanya dari segi penjenteraan bagi meringankan beban kerja dan mempercepatkan operasi harian.

 

“Tugas pekerja ladang banyak dibantu oleh peralatan mekanikal serta jentera berteknologi tinggi berbanding dahulu, oleh sebab itu FGV sedang meningkatkan promosi peluang pekerjaan ini di kalangan penduduk tempatan,” katanya.

 

FGV baru-baru ini melancarkan kempen pengambilan pekerja dan permohonan boleh dihantar terus ke pejabat-pejabat FGV berdekatan atau e-mel terus ke career@feldaglobal.com  dan untuk maklumat lanjut mengenai peluang kerjaya dan tarikh temu duga terbuka boleh melayari laman sesawang FGV di www.feldaglobal.com dan Facebook www.facebook.com/feldaglobalofficial/.