FGV Lancar Program Konservasi Beruang Matahari

TROLAK, 19 APRIL 2018 – FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini melancarkan Program Konservasi Beruang Matahari yang merangkumi penubuhan Kumpulan Tindakan Komuniti Beruang Matahari (Community Action Group – CAG) pertama di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada pendekatan holistik dalam melaksanakan program ini, FGV juga menerbitkan garis panduan untuk CAG yang bertajuk Garis Panduan Pelaksanaan Komuniti Sahabat Beruang Matahari dan Pengurusan Beruang Matahari di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, yang merupakan yang pertama di Asia Tenggara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Zakaria Arshad berkata FGV berbangga kerana menerajui program konservasi komprehensif pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada pengurusan, penyelidikan dan mewujudkan kesedaran tentang beruang matahari.

Program ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama antara FGV dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Program ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama antara FGV dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Usaha konservasi ini dan mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat setempat mengenai kepentingan hidupan liar adalah selaras dengan komitmen Kumpulan FGV untuk menjadi sebuah syarikat perladangan bersepadu yang mampan.

“FGV juga berazam untuk menjadikan ladang kami sebagai “Kawasan Hidupan Liar Terurus” kerana berdekatan dengan hutan semula jadi,” katanya.

Pada majlis itu, FGV melancarkan sebuah buku mengenai kelestarian yang bertajuk “Kelestarian Alam Sekitar”, hasil kerjasama antara FGV dan UKM, yang juga mengandungi bab tentang beruang matahari.

Di bawah Program Konservasi Beruang Matahari, lima komuniti CAG Beruang Matahari telah ditubuhkan di kawasan yang dikenalpasti mempunyai kebarangkalian besar konflik hidupan liar dengan manusia iaitu di Kuala Lipis (Pahang), Kuala Terengganu (Terengganu), Sahabat (Sabah), Gerik (Perak) dan Mersing (Johor) yang melibatkan 151 ahli.

Ahli CAG telah dilatih mengenai aspek teknikal, perancangan dan promosi konservasi beruang matahari di kawasan masing-masing. Ini akan menyumbang kepada matlamat FGV untuk mewujudkan pemahaman yang lebih baik mengenai isu-isu biodiversiti dan konflik hidupan liar dengan manusia.

Dato’ Zakaria berkata FGV turut terlibat dalam menyediakan sangkar konservasi beruang matahari di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) sejak 2016 dan setakat ini berjaya menyelamatkan 36 beruang matahari dengan 25 daripadanya telah berjaya dilepaskan ke habitat asal mereka selepas proses pemulihan.

Ini adalah rekod tertinggi di dunia bagi pelepasan beruang matahari ke habitat semulajadi. Tahun ini sahaja, tujuh beruang matahari dibebaskan

“Ini adalah rekod tertinggi di dunia bagi pelepasan beruang matahari ke habitat semulajadi. Tahun ini sahaja, tujuh beruang matahari dibebaskan,” jelasnya.