FGV Lancar Baja Formula Khas MPOB F2 dan MPOB F2 Super K

Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya, FPM Sendirian Berhad (FPM) hari ini melancarkan dua baja formula khas iaitu MPOB F2 dan MPOB F2 Super K yang menyokong pertumbuhan pokok sawit, mengekalkan nutrien dan menambahbaik keberkesanan serapan air serta kualiti tanah untuk jangka masa panjang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Zakaria Arshad telah melancarkan produk berkenaan bersama-sama Pengarah Bahagian Penyelidikan Integrasi dan Pembangunan MPOB, Dr. Ramlee Moslim dan Ketua Pegawai Eksekutif FPM, Samsuddin Yasir.

Menerusi kerjasama dengan MPOB di bawah ‘Perlesenan Formula Baja’, sasaran FPM untuk memasarkan produk ini adalah kepada pekebun kecil sawit di seluruh negara. Ketika ini hampir 40 peratus daripada keseluruhan 5.74 juta hektar ladang sawit di Malaysia diuruskan oleh pekebun kecil.

Dato’ Zakaria Arshad berkata, baja tersebut telah dihasilkan oleh FPM menerusi kawalan kualiti yang ketat menggunakan mineral berkualiti tinggi yang diimport dari Kanada, Rusia, Jerman dan Jepun. Baja berkualiti MPOB F2 dan MPOB F2 Super K menawarkan nutrient lebih seimbang sekali gus membantu pekebun kecil meningkatkan hasil dan pendapatan mereka.

“FPM menyasarkan jualan sebanyak 30,000 MT baja F2 dalam tempoh lima tahun. Berdasarkan kualiti premium yang ditawarkan oleh baja F2 ini, FPM menjangkakan jualan baja berkenaan akan terus meningkat setiap tahun dengan potensi eksport khususnya ke Indonesia,” katanya.

MPOB F2 amat sesuai untuk penanaman sawit di semua jenis tanah manakala MPOB F2 Super K sesuai untuk ladang tanah jenis gambut. Dianggarkan kira-kira 2.6 juta hektar ladang sawit di Malaysia ditanam di tanah gambut.

FPM adalah pengimport dan pembuat baja utama di Malaysia dan beroperasi di Pasir Gudang di Johor, Kuantan di Pahang, Klang di Selangor dan Lahad Datu di Sabah dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 850,000 tan setahun.

Selain itu, FPM juga membekalkan baja untuk ladang getah, nenas dan padi. Dengan kapasiti, prestasi dan kepakaran yang dimiliki FPM, telah meletakkan syarikat ini di kedudukan baik untuk meneroka peluang perniagaan dalam industri baja dan kimia di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

–Tamat –