FGV Intai Peluang dalam Projek ECRL

Pasukan Projek ECRL Melawat Fasiliti Logistik FGV di Pelabuhan Kuantan

KUANTAN, PAHANG, 14 OGOS 2017 – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) berminat menawarkan kepakarannya dalam menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu dengan pihak-pihak yang terlibat dalam pembangunan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Kumpulan FGV melalui Sektor Logistik & Lain-lain (LO) baru-baru ini menjemput delegasi dari ECRL untuk melawat fasiliti terbuka depoh Felda Transport Services dan Gudang Kuantan Felda Johore-Bulkers di Pelabuhan Kuantan, di Gebeng.

Pegawai Bertanggungjawab FGV, Dato’ Khairil Anuar Aziz berkata memandangkan pembinaan ECRL akan berpangkalan di Kuantan sebelum diperluas ke Kelantan dan Selangor, FGV mempunyai kelebihan menyediakan perkhidmatan logistik untuk projek itu kerana kemudahannya berada di atau berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan.

“Kami sedang melihat untuk menyokong projek tersebut dari segi menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi membawa peralatan dan bahan binaan di sepanjang keseluruhan projek ECRL. Kami boleh menjadi antara pusat logistik sehenti untuk projek itu.

FGV mempunyai pengalaman dan rekod prestasi yang telah terbukti di dalam keupayaannya menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu seperti Mass Rapid Transit (MRT) dan projek infrastruktur mega yang lain

“FGV mempunyai pengalaman dan rekod prestasi yang telah terbukti di dalam keupayaannya menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu seperti Mass Rapid Transit (MRT) dan projek infrastruktur mega yang lain,” ujar Dato’ Khairil, sambil menambah bahawa dianggarkan 10% daripada projek ECRL yang dijangka mengambil masa tujuh tahun itu, akan melibatkan sokongan logistik.

Pasukan Projek ECRL Melawat Fasiliti Logistik FGV di Pelabuhan Kuantan

Dalam mengumumkan projek ECRL berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang membabitkan pembinaan landasan kereta api sepanjang 688 kilometer itu, Kerajaan juga telah menyatakan komitmennya untuk memberi peluang kepada syarikat dan kontraktor tempatan.

Dato’ Khairil berkata walaupun Sektor Perladangan dan Gula merupakan perniagaan teras bagi Kumpulan, pengembangan Sektor LO akan memberi pendapatan tambahan yang baik kepada Kumpulan.

“Terdapat potensi besar untuk perniagaan logistik FGV berkembang di dalam dan di luar negara dan salah satunya adalah melalui kerjasama strategik dengan syarikat terkemuka dalam industri berkaitan.

“Ini akan menjana pendapatan yang lebih stabil kepada FGV dan mengurangkan pergantungan terutamanya pada Sektor Perladangan dan secara tidak langsung memberikan pulangan yang mampan kepada para pemegang saham,” katanya.

Pada awal tahun ini, FGV telah menstrukturkan perniagaannya menjadi tiga sektor utama, Perladangan, Gula dan LO untuk menyelaraskan proses pengurusan dan meningkatkan akauntabiliti, yang bertujuan meningkatkan fokus operasi dan pengurusan, dan mempertingkat akauntabiliti kejelasan dan pelaporan. Ini juga akan mendorong sinergi yang lebih besar dengan menyatukan perniagaan-perniagaan yang setara di bawah rantaian nilai  terintegrasi.

Ketika ini perniagaan logistik FGV merangkumi operasi pengangkutan multi-modal (MTO), penghantaran, pengangkutan kargo, tangki penyimpanan pukal, pergudangan dan pengendalian operasi terminal cecair di pelabuhan.

Dari segi aset logistik, FGV memiliki hampir 500 buah trak, 15 hab pengangkutan, dua buah gudang, dua buah terminal jeti dan sembilan buah fasiliti penyimpanan pukal dengan keseluruhan kapasiti lebih 900,000 MT di dalam dan luar negara.

“Di peringkat global, usaha sama FGV dengan Westbury Group, Pakistan untuk meningkatkan kapasiti tangki penyimpanan tambahan sebanyak 38,000 MT di Port Qasim sedang berjalan lancar dengan sekitar 15,000 MT telah disiapkan pada bulan Mei. Insya-Allah, keseluruhan projek akan disiapkan pada akhir tahun ini. Kami juga sedang melihat peluang kerjasama yang serupa di Indonesia.

“Kami berada di landasan yang betul untuk mengukuhkan perniagaan logistik kami. FGV akan terus meneroka peluang dan potensi yang ada untuk meningkatkan pendapatan Kumpulan di masa hadapan,” katanya.

Tamat