FGV Holdings Berhad merujuk kepada artikel yang diterbitkan pada 3 Julai 2018, oleh Berita Harian Online, bertajuk “FGV Holdings jangan guris hati peneroka – ANAK”

FGV Holdings Berhad amat berbangga dengan asal usul kami yang bermula daripada program pekebun kecil pertama di Malaysia yang ditubuhkan di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

FELDA, ditubuhkan sebagai program pembasmian kemiskinan dan telah mencapai kejayaan luar biasa, terutamanya pada awal penubuhannya. FGV sendiri mempunyai genetik hampir sama dengan FELDA dan sehingga hari ini masih terus bekerjasama rapat dengan pekebun kecil dan peneroka, yang membantu menghubungkan petani dengan pasaran. Malah, FGV diakui sebagai salah satu penyokong terbesar pekebun kecil di dunia.

Kini, selepas enam tahun penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, FELDA kekal sebagai pemegang saham terbesar kami dan peneroka kekal sebagai pihak berkepentingan kami.

FGV bertekad untuk memperjuangkan semua isu berkaitan pekebun kecil di peringkat antarabangsa, terutamanya ketika peluang industri untuk beroperasi dicabar atas beberapa sebab tertentu.

FGV sentiasa menghormati kedudukan pembekal Buah Tandan Segar (BTS) yang terdiri di kalangan pekebun kecil, termasuk peneroka dan kami akan bekerja keras untuk memelihara serta menguatkan hubungan kami dengan mereka.

FGV menyokong lebih daripada 112,000 peneroka FELDA yang mana mereka menghasilkan dan membekalkan sepertiga BTS daripada keseluruhan BTS yang diproses oleh kami.  Sepertiga lagi  diperoleh daripada 350,000 ha ladang yang diuruskan oleh FGV di bawah Perjanjian Sewa Tanah (LLA) dengan FELDA.

FGV membayar kepada FELDA RM250 juta setiap tahun untuk pajakan tanah ini. Selain itu, FGV juga berkongsi 15% keuntungan tahunan dari tanah yang berkaitan dengan LLA dengan Felda. Setiap tahun sejak penyenaraian kami, FGV tidak pernah gagal membayar dividen kepada para pemegang sahamnya.

FGV juga ingin menjelaskan bahawa pada 1 Jun 2018, KPF memiliki 5.15% saham dalam FGV, iaitu 187,966,608 saham, bukan 800 juta saham seperti yang dilaporkan media.

Kami akan terus berusaha untuk memastikan semua pemegang saham mendapat manfaat daripada pertumbuhan dan kejayaan FGV.

Dato’ Zakaria Arshad
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif
FGV Holdings Berhad