FGV Catat Untung Sebelum Cukai sebanyak RM87 juta Q2 2017

Bangkit berbanding kerugian sebanyak RM31 juta pada suku sebelumnya

Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM87 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2017, bangkit daripada kerugian sebanyak RM31 juta pada suku sebelumnya (Q1 2017).

Bagi separuh pertama 2017, perolehan FGV meningkat sebanyak 8% daripada RM7.9 bilion kepada RM8.55 bilion manakala keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak 33% kepada RM56 juta berbanding tempoh sama tahun lalu (1H2016) disokong oleh pendapatan tinggi daripada Sektor Perladangan dan Logistik & Lain-lain (LO).

Keuntungan Sektor Perladangan mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan kepada RM148 juta untuk 1H2017 berbanding rugi RM9.69 juta pada tempoh sama tahun lalu

Keuntungan Sektor Perladangan mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan kepada RM148 juta untuk 1H2017 berbanding rugi RM9.69 juta pada tempoh sama tahun lalu disokong oleh margin minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi, pengeluaran MSM meningkat 12% dan kos pengeluaran MSM menurun 3%.

Bagaimanapun, keputusan positif ini telah terjejas dengan kerugian yang dicatatkan oleh Sektor Gula berikutan harga gula mentah yang tinggi dan rosot nilai belum diterima sebanyak RM47.62 juta serta peruntukan kerugian litigasi sebanyak RM32.84 juta yang diiktiraf dalam Sektor Perladangan. Caj nilai saksama LLA juga meningkat sebanyak 18% kepada RM121 juta berbanding 1H2016.

FGV ketika ini berada di landasan betul untuk mecapai sasaran tanam semula sebanyak 14,000 hektar setahun di mana 10,000 hektar ladang telah ditebang dan daripada jumlah berkenaan 1,478 hektar ladang telah ditanam pada 1H2017. Kumpulan juga mencatatkan penurunan perbelanjaan pentadbiran sebanyak 5% kepada RM439 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menuju ke hadapan, FGV menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) untuk separuh kedua 2017 akan bertambah baik disebabkan peningkatan pengeluaran hasil berikutan pertambahan pekerja asing serta hasil yang lebih tinggi.

Pengurusan kanan FGV

Kumpulan akan meneruskan usaha untuk menstrukturkan perniagaan produk sampingan seperti tempurung isi rung sawit (palm kernel shell), minyak sisa, biomas dan biogas. Kumpulan turut menjangkakan pertambahan perolehan lebih RM60 juta setahun untuk pasaran tempatan dan eksport untuk perniagaan ini.

FGV kekal fokus untuk menambahbaik prestasi peniagaan teras, amalan kewangan dan pengurusan kos secara berkhemah, mengukuhkan tadbir urus Korporat dan pelupusan perniagaan bukan teras dalam usaha memaksimumkan nilai pemegang saham serta ini selari dengan Pelan Strategik 2020 (SP20) Kumpulan.

30 AUGUST 2017
FELDA GLOBAL VENTURES HOLDINGS BERHAD