FGV Buka Peluang Pekerjaan Industri Perladangan

 

KUALA LUMPUR – 27 JULAI 2017 – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor perladangan kepada penduduk tempatan khususnya generasi baharu peneroka dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Kempen peluang kerjaya ini telah dimulakan di Sambutan Hari Peneroka 2017 di Putrajaya baru-baru ini di mana FGV telah membuka kaunter permohonan kerjaya untuk para pengunjung.  Kempen jelajah kerjaya FGV ini akan diteruskan lagi di Pejabat Ladang Bera Selatan 1, Bera (Pahang, 8 Ogos), Pejabat Pentadbiran Pusat Penyelidikan Tun Razak (PPTR), Jengka (Pahang, 10 Ogos), Pejabat Ladang Besout 7, Trolak (Perak, 15 Ogos) dan Pejabat Ladang Chiku 8, Chiku (Kelantan, 17 Ogos).

Pegawai Bertanggungjawab FGV yang juga merupakan anak peneroka Felda, Dato’ Khairil Anuar Aziz berkata, kebergantungan Kumpulan terhadap tenaga kerja asing sangat tinggi iaitu lebih 35,000 orang di seluruh negara dan masih memerlukan lebih ramai pekerja bagi memastikan operasi harian berjalan lancar.

“Bukan mudah untuk membuang persepsi negatif generasi baharu terhadap kerjaya dalam sektor perladangan tetapi sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, FGV akan terus komited untuk menggalakkan dan mengutamakan orang tempatan.

“Sejarah membuktikan bahawa Felda telah dibangunkan oleh rakyat tempatan dari hutan belantara sehingga sehingga menjadi sebuah industri komoditi utama di Malaysia. Kami akan terus berusaha meningkatkan penglibatan orang tempatan dalam sektor ladang dengan menambah baik pakej pembangunan kerjaya serta faedah-faedah terbaik,” katanya.

Antara faedah-faedah yang ditawarkan adalah, kadar gaji yang menarik, bayaran insentif, caruman KWSP dan Perkeso, cuti tahunan, perubatan, insurans dan elaun kepada semua petugas yang layak.

Selain bahagian perladangan, FGV juga menawarkan peluang kerjaya kepada generasi baharu FELDA yang meminati unit beruniform menerusi anak syarikat, Felda Security Services Sdn Bhd. yang ketika ini memiliki 3,000 anggota yang sebahagian besarnya terdiri daripada anak-anak peneroka.

Tambah Dato’ Khairil, usaha ini merupakan sebahagian daripada pelbagai aktiviti atau program tangggungjawab sosial (CSR) FGV setiap tahun yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat khususnya peneroka FELDA.

Permohonan boleh dihantar terus ke pejabat-pejabat FGV berdekatan atau e-mel terus ke career@feldaglobal.com. Untuk maklumat lanjut mengenai peluang kerjaya dan tarikh temu duga terbuka boleh melayari laman sesawang FGV di www.feldaglobal.com dan Facebook  www.facebook.com/feldaglobalofficial/ .

Tamat