FGV bina loji Bio-CNG pertama dunia

Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) telah mencatat sejarah apabila membina sebuah loji pengeluar biogas asli mampat (Bio-CNG) yang pertama di dunia berasaskan sisa buangan kilang kelapa sawit.

bioLoji Bio-CNG yang terletak di kilang kepala sawit Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu itu merupakan salah satu usaha mengurangkan keĀ­san karbon pengeluaran minyak sawit mentah dan mentransformasikan industri sawit sebagai mesra alam.

Bio-CNG mempunyai kualiti hampir sama dengan gas asli dan boleh digunakan sebagai bahan api alternatif untuk kegunaan sektor industri dan pengangkutan.

FGV melalui anak syarikat FPISB amat konsisten dan mengutamakan agenda kelestarian alam sekitar dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, di samping menjalankan aktiviti peladangan yang menjadi teras kumpulan. Dengan adanya projek ini memberi imej positif kepada industri sawit sebagai perusahaan yang mesra alam, selain menunjukkan komitmen FPISB sebagai kumpulan pengilang sawit terbesar dunia dengan 69 kilang jauh melebihi mana-mana syarikat perladangan sawit dunia.

Projek pembinaan loji itu dilaksanakan di bawah Projek Permulaan 5 (EPP5) Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk sektor minyak sawit dan tanda sokongan dalam industri gas asli negara. Projek ini juga merupakan usahasama antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Felda Palm Industries Sdn. Bhd. (FPISB) dan Sime Darby Offshore Engineering Sdn. Bhd. (SDOE).