FGV Bakal Peroleh Premium Bagi Produk Minyak Sawit Lestari Diperakui pada Suku Pertama (Q1) 2018

FGV berbesar hati mengumumkan bahawa ia telah menerima Pensijilan Prinsip dan Kriteria (P&C) Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) untuk lapan buah kompleks kilangnya pada akhir tahun 2017 selepas menarik diri secara sukarela daripada pensijilan RSPO tersebut pada Mei 2016 .

Lapan buah kompleks kilang yang setakat ini telah diperakui dijangka akan menghasilkan lebih 200,000 MT Minyak Sawit Lestari Diperakui (CSPO) dan hampir 60,000 MT Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK).

Selain daripada manfaat premium yang ditawarkan, FGV berpeluang menembusi pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Utara, serta pelanggan yang mahu produk minyak sawit yang diperakui.

“Ini merupakan permulaan yang baik bagi tahun ini, terima kasih kepada para petugas FGV yang komited dan telah turut serta di dalam program transformasi kelestarian yang kita mulakan sejak Mei 2016,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Zakaria Arshad.

Pada Mei 2016, walaupun kekal sebagai ahli RSPO, FGV menarik diri secara sukarela semua pensijilan P&C RSPO kompleks kilangnya dan mengakui terdapatnya isu-isu buruh dan sosial sepanjang rantaian bekalan yang perlu ditangani.

“Kami merasakan amat penting untuk menangani kawasan yang terdapat kebimbangan utama. Untuk 2018, kami menyasarkan untuk mengesahkan pensijilan bagi lapan buah kompleks kilang menjelang Mac dan lebih daripada 30 buah kompleks kilang yang akan diaudit oleh RSPO dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang akhir Disember.

“Salah satu daripada strategi utama kami adalah pengenalan kepada Polisi Kelestarian Kumpulan (GSP) yang digunakan di seluruh operasi, anak syarikat dan kontraktor kami untuk menangani jurang dan mewujudkan rantaian bekalan yang lebih inklusif. GSP memberi penekanan yang lebih besar untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan dalam cara yang lestari dan inklusif,” ujar Dato’ Zakaria.

FGV merancang untuk mengesahkan pensijilan kesemua 70 buah kompleks kilang dengan keperluan RSPO dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang tahun 2021.

-TAMAT-