Felda Travel Sedia Kendali Kuota Haji Lebih Besar Tahun Depan

KUALA LUMPUR 24 OGOS 2017 – Felda Global Ventures Holdings (FGV) Berhad menerusi anak syarikatnya Felda Travel Sdn Bhd (Felda Travel) bersedia untuk mengendalikan kuota jemaah haji yang lebih besar pada tahun hadapan memandangkan terdapat permintaan tinggi terhadap perkhidmatannya.

Tahun ini Felda Travel, yang mempunyai 10 tahun pengalaman mengendalikan pakej Haji, telah diberikan kuota sebanyak 370 jemaah haji oleh Tabung Haji berbanding 123 jemaah pada tahun lalu.

Pegawai Bertanggungjawab FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata pakej haji yang dikelolakan Felda Travel menerima permintaan tinggi setiap tahun disebabkan perkhidmatan terbaik yang diberikan di dalam menguruskan jemaah dengan kerjasama Tabung Haji.

Kami akan membuat permohonan dengan Tabung Haji agar diberikan penambahan kuota pada tahun depan bersandarkan kejayaan kami menguruskan para jemaah dengan lancar pada tahun ini

“Kami akan membuat permohonan dengan Tabung Haji agar diberikan penambahan kuota pada tahun depan bersandarkan kejayaan kami menguruskan para jemaah dengan lancar pada tahun ini,” katanya.

Di dalam memberikan perkhidmatan bermutu tinggi, Felda Travel mengekalkan hubungan baik dengan rangkaian penerbangan, hotel dan badan kerajaan melalui barisan kakitangan yang mahir dan terlatih bagi memastikan proses permohonan, persediaan, pengurusan dan pergerakan jemaah untuk menunaikan Haji dilaksanakan sebaik mungkin.

Selain daripada pakej Haji, Felda Travel juga berpengalaman mengendalikan jemaah umrah dan menyasarkan seramai 5,000 jemaah umrah pada tahun ini. Antara pakej umrah yang diminati pelanggan adalah Nuhasi, Fiddi dan Zahaby.

Kelebihan pakej umrah yang ditawarkan oleh Felda Travel adalah keselesaan yang terjamin iaitu dalam kumpulan kecil, dibimbing kakitangan terlatih, penerbangan terus, jarak hotel yang dekat dengan Masjidilharam dan Masjid Nabawi serta makanan berkualiti yang disediakan oleh D’Saji.

Baru-baru ini, Felda Travel telah melancarkan pakej umrah terbaharu ‘Ibrah Menyingkap Hikmah’ dengan penglibatan eksklusif Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Nushi Dato’ Mahfodz.

Pakej umrah yang akan bermula pada 27 November hingga 8 Disember 2017, hasil kerjasama antara Felda Travel dengan KUISCELL Sdn Bhd di mana jemaah berpeluang menyambut hari Maulidur Rasul di tanah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W iaitu tanah suci Mekah.

Bagi orang awam yang berminat untuk menyertai pakej umrah Felda Travel, boleh layari laman sesawang www.feldatravel.com.my  atau hubungi talian atau 03-2698 3833 atau WhatsApp 019-279 0022.

Tamat